Image

KUALA LUMPUR – Kerja keras skuad hoki wanita ditagih oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam usaha meraih tiket Sukan Olimpik 2012 apabila mereka beraksi pada kejohanan kelayakan di Kakamigahara, Jepun dari 25 April hingga 6 Mei ini.

Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, selepas pasukan lelaki gagal melangkah ke Temasya London, giliran skuad wanita pula cuba menggalas misi tersebut biarpun sedar ia bukan tugas mudah.

“Saya berharap mereka mampu mendapatkan keputusan yang baik iaitu layak ke Sukan Olimpik dan mereka perlu bekerja keras untuk mencapai matlamat tersebut.

“Saya doakan yang terbaik buat pasukan wanita kita yang bakal berangkat ke Jepun,” kata Tengku Abdullah semalam.

Beliau berkata demikian selepas menemani Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad remaja 2013 menentang pasukan remaja Pakistan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Terdahulu, Sultan Azlan Shah, yang juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) melawat pemain hoki wanita negara yang menjalani latihan persediaan.

Pada perlawanan kelayakan tersebut Malaysia diundi bersama tuan rumah, Jepun, Belarus, Chile, Azerbaijan dan Austria.

Sementara itu ketika ditanya tentang status jawatan Setiausaha Agung MHC yang ketika ini masih belum diisi, Tengku Abdullah berkata, semuanya akan diketahui pada mesyuarat majlis, esok.

“Perkara ini adalah antara yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat esok (hari ini) begitu juga dengan ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan.

“Saya harap semua ini dapat diselesaikan dan saya memerlukan sokongan daripada ahli majlis pada mesyuarat itu nanti,” kata Tengku Abdullah.

Sebelum ini jawatan Setiausaha Agung MHC disandang oleh Maninderjit Singh sejak Oktober 2010, namun beliau meletakkan jawatan, bulan lalu .

Advertisements