Permainan hoki mempunyai pelbagai kemahiran yang perlu dikuasai. Setiap kemahiran yang ada di dalam permainan ini mempunyai kelebihan tersendiri. Jadi, harapan kami agar pelajar dapat berusaha untuk mengusai kemahiran yang telah diajar.
Hoki juga satu permainan fizikal yang memerlukan pelbagai unsur seperti kepantasan, kelincahan, kekuatan, daya tahan, strategi dan teknikal. Ia sangat penting kerana ia memberikan kelebihan seseorang pemain itu dengan pemain yang lain. Apabila seseorang pemain itu dapat menguasai kemahiran-kemahiran tersebut, ia memberi peluang kepada meraka untuk kreativiti dan gaya individual.
Antara kemahiran-kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap pemain ialah menggelecek, memukul, menolak, dan menerima atau menahan bola.

1.Menggelecek
Menggelecek adalah kemahiran yang penting. Kemahiran ini perlu dikuasai untuk membawa bola, melepaskan diri daripada pemain lawan, mengekalkan pemilikan bola, menukar arah, dan sebagainya. Terdapat tiga cara menggelecek, iaitu menggelecek longgar, menggelecek rapat, dan menggelecek ‘Indian’(Indian Dribble).

2. Memukul
Memukul juga kemahiran asas dalam permainan hoki yang perlu dikuasai oleh setiap pemain. Kelebihan kemahiran memukul ini adalah membolehkan bola bergerak dengan cepat dan jauh. Ketepatan semasa memukul bola adalah sangat penting, supaya bola tidak tersasar ke arah lain.

3. Menolak
Kemahiran menolak adalah berlainan dengan kemahiran memukul, walaupun tugasnya sama seperti kemahiran memukul. Antara perbezaan ketara jika dibandingkan dengan kemahiran memukul ialah kemahiran menolak tidak memerlukan hayunan kayu hoki dan kuasa atau tekanan yang dikenakan kepada bola adalah berlainan. Kebiasaannya tiada bunyi ketukan terhasil dari tolakan bola.

4. Menerima dan menahan bola
Kemahiran menerima atau menahan bola juga salah satu kemahiran yang sangat penting dan perlu dikuasai oleh pemain. Kemahiran ini digunakan untuk menerima bola yang dihantar dari rakan sepasukan supaya kedudukan atau pemilikan bola masih berada dalam kawalan pasukan sendiri, tidak jatuh ke pasukan lawan. Kedudukan semasa menerima atau menahan bola boleh dilakukan semasa berada dalam kedudukan statik ataupun sedang bergerak.